

Aduh! Bagaimana harus dimulakan bicara ini. Usah beralas kata jika ada yang tersemat. Nah, kita terjah terus kalau begitu. Filem 'Kala Malam Bulan Mengambang' telah dinobatkan sebagai FILEM TERBAIK semasa Festi Filem Malaysia (FFM) yang ke 21 yang bersiaran langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putraya (PICC) malam Sabtu yang lepas.
Menyorot aksi kemenangan sutradara Mamat Khalid malam tempohari, FG agak kaget. Bukan mengharapkan beliau TIDAK menang! Cuma terkejut filem itu menang. Namun apa hendak diragukan... Malaysia semua Boleh, bukan? Filem tersebut menggondol tiga hadiah utama yang lain selain dari Filem Terbaik seperti Pengarah Terbaik, Pereka Kostum Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik yang dimenangi oleh Rosyam Nor.
Sebenarnya, FG lebih tertarik dan begitu yakin kepada dua filem lain yang dicalonkan yakni 'Anak Halal' dan 'Sepi'. Sekali lagi, bukan mengharapkan filem mereka akan MENANG; tetapi tertanya-tanya kriteria atau rumus apakah digunakan acapkali festival filem untuk memilih yang terbaik. Anak Halal telah mempertaruhkan 12 kategori yang berasingan dan mempunyai pencalonan yang terbanyak. FG sempat menonton filem ini. FG kagum dengan Osman Ali, pengarah ceritanya. Namun, Anak Halalnya itu tidak berjaya di mata para juri. Begitu juga dengan Khabir Bhatia, pengarah filem Sepi yang telah memenangi Filem Terbaik tahun lepas melalui filem CINTA.
Kegumpalan bungkam perasaan seperti ini bukan pertama kali terjadi. Ini pernah berlaku pada 8th. Film Festival pada tahun 1989 di mana filem komedi "Oh Fatimah", arahan A.R. Badul di mana beliau telah menggondol 5 award semasa pesta filem tersebut antaranya pelakon lelaki terbaik, pelakon wanita terbaik (Raja Norbaizura), pelakon kanak-kanak terbaik, skrip terbaik dan pengarah terbaik. Filem tersebut berjaya mengalahkan filem ANAK SARAWAK; karya Dato' Rahim Razali dan jugak RAHSIA karya Othman Hafsham yang diuar-uarkan sebagai mungkin memenangi banyak award atas tingginya nilai seni juga artistiknya.
Namun satira ringan dalam Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) yang cuba dibawakan oleh Mamat Khalid mungkin menjadi kali ini. Filem dibuat secara hitam putih ini bertemakan perisikan ala Jefri Zain zaman 60'an dilayarperakkan secara begitu ooonik. FG mengikut jugak jejak pengarahan Mamat Khalid ini dari filem pertama beliau, Lang Buana. Tidak menjadi filem ini walaupun berbekalkan kumpulan lawak nombor satu negara, Senario. Kemudian, beliau dengan beraninya mencuba Man Laksa dengan mempertaruhkan Apek selaku watak utama. Setelah itu, filem genre era rock kapak 80'an, ROCK. Sejurus sebelum KMBM ini, beliau telah mencarumkan filem ZOMBIE KAMPUNG PISANG. Filem inilah yang menarik hati FG. Sesuatu yang ringan, atau 'bodoh' bagi sesetengah pihak. Hmm... bagi FG, Zombie Kampung Pisang adalah sebuah filem ringan dan mempunyai nilai humor yang tinggi. Tak perlu berfikir banyak. Ide filem bukanlah satu saluran untuk pendidikan, maka inilah filemnya. FG bukan kata semua filem tidak seharusnya bermutu; tetapi perlu bijak. Pungutan tiket serta sambutan penonton adalah satu perkara yang lain. Tetapi jika diminta menonton antara filem arahan Mamat Khalid dan Prof. Madya Razak Mohaideen, sudah pasti FG akan jawap... filem Mamat Khalid !
Jadi, apa nak dihairankan. Humor Mamat Khalid bagi FG adalah atas genetiknya. Mamat Khalid juga adalah adik kandung kepada Dato' Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai DATO' LAT, kartunis karikatur tersohor negara.